Machiavelli
Strategi Anwar tenangkan penyokong
KUALA LUMPUR 24 Sept. – Dakwaan pihak pembangkang bahawa perundingan sedang dibuat antara wakilnya dengan kerajaan mengenai peralihan kuasa, adalah strategi terbaru pembangkang untuk menenangkan penyokongnya selepas gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 16 September lalu.
Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menyifatkannya sebagai helah untuk mensensasikan perjuangan mereka dengan menggunakan media asing.
Menurutnya, berita baik mengenai Malaysia di luar negara adalah kurang sejak 1998, rentetan daripada pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘‘Memang itupun strategi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memang tujuan menipu itu adalah untuk mendapatkan perhatian.
‘‘Jangan kita terperangkap dengan taktik sangat halus itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan laporan agensi berita AFP bahawa rundingan sedang dibuat antara wakil pembangkang dan kerajaan mengenai peralihan kuasa sebagai ‘laporan paling gila’ yang pernah didengarnya setakat ini.
Sehubungan itu, Shamsul Amri menasihatkan pemimpin BN dan UMNO agar bijak menangani perang psikologi yang dilancarkan pihak pembangkang menerusi media.
‘‘Apabila mereka bersikap defensif semasa memberikan reaksi (kepada dakwaan pihak pembangkang), kerajaan telah menari mengikut rentak lagu pembangkang.
‘‘Soal betul dan salah itu dakwaan bukan perkara pokok. BN mesti menjustifikasi maknanya kerana itu adalah strategi politik,’’ ujarnya.
Sementara itu, Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Kolej Undang-undang dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pemimpinnya akan membayar harga yang sangat mahal jika mereka terus menipu rakyat.
Jelas beliau, pihak asing sebenarnya tidak berminat untuk melihat pembangkang berkuasa kerana motif sebenar mereka adalah melihat negara ini hancur, rakyat berpecah-belah dan bersengketa sesama sendiri.
‘‘Kalau perkara ini tidak disedari mereka (pihak pembangkang), mereka secara tidak langsung telah menjadi alat pihak asing untuk merosakkan negara,’’ jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah UUM, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain percaya dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai satu konspirasi bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Menurutnya, pihak pembangkang lebih sanggup merealisasikan teori Machaevelli, the end justifies the mean.
Jelasnya, mereka akan menggunakan apa sahaja sumber sedia ada untuk menghalalkan objektif mereka.
‘‘Memandangkan ia satu konspirasi, maka (dakwaan itu) tidak semestinya berasaskan fakta, tetapi berasaskan persepsi pengikut atau penyokongnya sendiri,’’ katanya.