Ibrahim Ali teguh berdiri?
Isu Nik Aziz, Ibrahim makin panas
Hari ini, beberapa pemidang ucapan hari raya yang memaparkan gambar Ibrahim di sekitar bandar ini disimbah cat hitam dipercayai tanda protes terhadap tindakannya yang ‘menyerang balas’ Nik Abdul Aziz.
Ekoran itu, Timbalan Pengerusi Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) Pasir Mas, Mohd. Sapani Zakaria membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kejadian itu merupakan insiden kedua kerana Februari lalu, pejabat PKMR di Kasa di sini disimbah cat merah selepas Ibrahim mengkritik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat sebelum didesak meletakkan jawatan oleh Mursyidul Am Pas.
Ibrahim ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksi tentang kejadian itu menyifatkannya sebagai perbuatan pengecut dan menyimpang daripada ajaran Islam.
Malah beliau dengan nada sinis mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melakukan perbuatan itu.
“Kejadian ini berlaku disebabkan saya mencabar Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan tetapi perlu diingat bukan saya yang memulakannya, dia yang mula mencabar saya supaya meletakkan jawatan.
“Dulu kali pertama Nik Abdul Aziz meminta saya meletak jawatan, pejabat saya di Pasir Mas telah disimbah cat, ini sikap kebudak-budakan. Cukuplah sekadar perang mulut, kalau betul hendak lawan tunggulah sehingga pilihan raya.
“Saya tidak terasa apa-apa kalau simbah cat pada poster tetapi saya nasihatkan kepada penyokong supaya jangan mengambil tindakan mengikut perasaan seperti ini,” katanya.
Mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyifatkannya sebagai pengemis politik yang tidak mengenang budi, Ibrahim berkata, beliau tidak peduli dengan kata-kata tersebut dan hanya melakukan amanah yang diberikan oleh rakyat.
Katanya, Pas adalah pengemis politik yang sebenar kerana sanggup mengemis daripada DAP untuk berkongsi kuasa memerintah.
“Orang yang makan komisen balak adalah penyamun harta rakyat dan pengemis politik yang sebenar, orang yang menjual agama dan memfitnah orang lain tanpa usul periksa lebih hina daripada pengemis politik.
“Apa yang penting saya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Pasir Mas, mungkin mereka sudah puas berperang dengan UMNO dan sekarang hendak berperang dengan saya pula,” katanya.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengulangi desakan supaya Ibrahim meletakkan jawatan jika mahu amal solehnya diterima Allah SWT kerana rezeki yang diperoleh melalui jawatan tersebut adalah ‘tidak betul’.
———————
Dr. Mahathir: Kita perlu pemimpin seperti Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Khidmat wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali amat diperlukan memandangkan beliau mampu menyuarakan pandangan dan kritikan secara neutral kepada kerajaan mahupun pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebagai Ahli Parlimen Bebas, tidak salah jika Ibrahim mengambil berat terhadap apa yang tidak kena di kedua-dua belah pihak.
“Saya rasa kita perlu ada seseorang seperti itu yang neutral dan prihatin dengan isu-isu berkaitan kerajaan dan pembangkang serta boleh mengkritik sesiapa saja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pentadbiran Korporat 2009 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perang mulut yang timbul di antara Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas itu meletakkan jawatannya kerana dikatakan tidak lagi mendapat ‘restu’ rakyat.
Semalam, Ibrahim membalas gesaan Nik Aziz itu dengan mengemukakan 10 hujah kenapa Mursyidul Am Pas itu pula yang sepatutnya mengosongkan kerusi Menteri Besar Kelantan yang disandang sejak 1990.
Dr. Mahathir berkata, Ibrahim menganggap dirinya wakil rakyat Bebas walaupun beliau pernah bertanding di bawah tiket Pas pada pilihan raya umum lalu.
“Jadi sebagai wakil rakyat Bebas, dia hanya menjalankan tugasnya dan menonjolkan diri dengan memberi apa-apa komen bukan saja mengenai kesalahan satu pihak tetapi semua,” katanya.
Mengenai desakan Ibrahim supaya Nik Abdul Aziz mengosongkan jawatan Menteri Besar Kelantan, Dr. Mahathir berkata:”Dia (Nik Aziz) sudah lama. Saya sendiripun letak jawatan sebab saya rasa orang sudah bosan dengan saya.
“Masalah apabila berada di kerusi yang selesa adalah kita tak mahu bangun bila sudah duduk,” katanya.
—————-
Jadikan Tendong uji pengaruh
PASIR MAS 28 Sept. - Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) Pasir Mas meminta Pas mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong sekiranya mereka benar-benar adil dan mahukan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan.
Timbalan Pengerusi PKMR Pasir Mas, Mohd. Sapani Zakaria berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada Ibrahim dan Pas untuk menguji pengaruh mereka di kawasan berkenaan memandangkan wakil rakyatnya, Dr. Mohamad Md. Daud tidak begitu berperanan sehingga menjadi sungutan rakyat.
Menurutnya, jika Pas gagal mempertahankan kerusi DUN di bawah Parlimen Pasir Mas itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu meletakkan jawatan dan jika Ibrahim tewas, dia juga perlu mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas.
“Menurut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sesiapa sahaja yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.
”Jadi untuk memastikan keadilan, kosongkan kerusi DUN Tendong dan beri peluang kepada Ibrahim bertanding di kerusi ini terlebih dahulu. Jika tewas dia perlu meletakkan jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas dan Nik Aziz juga perlu meletak jawatan kalau Pas kalah di Tendong.
”Di Tendong baru kita dapat menguji siapa yang mempunyai pengaruh dan jangan kata hanya Ibrahim yang berhutang budi kerana pada pilihan raya umum lalu masing-masing bekerjasama dan memerlukan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Sapani berkata, pihaknya menyifatkan desakan kali kedua itu sebagai gimik politik yang dibuat oleh Pas untuk mengalih perhatian rakyat kerana kegagalannya mentadbir.
“Rakyat di Kelantan sudah muak dengan permainan Pas, selepas 20 tahun memerintah tidak ada apa yang dibuat, kalau pokok kelapa sawit tempoh itu sudah boleh ditanam semula,” jelasnya.

